Sejarah Rama Rama

Terdapat suatu perbezaan ketara antara konsep sejarah Barat dan Hindu. Dalam sejarah Barat, bagi sesuatu perkara yang benar-benar berlaku, tarikh atau masa, tempat atau lokasi kejadian itu berlaku adalah amat penting. Penemuan seketul batu, sebuah pasu atau sekeping duit syiling purba yang ditemui semasa menggali sesuatu tapak arkeologi adalah lebih bernilai sebagai 'bukti' kewujudan atau kejadian sesuatu perkara daripada fakta sama ada kejadian itu telah meninggalkan sebarang kesan ke atas generasi akan datang. Sebaliknya, orang Hindu hampir tidak kisah sama ada seseorang pernah wujud atau sesuatu kejadian pernah berlaku sekiranya orang atau kejadian itu tidak meninggalkan sebarang kesan, baik atau buruk, ke atas kehidupan dan kebudayaan generasi akan datang.[3]

Terdapat satu lagi perbezaan asas antara kedua-dua konsep sejarah Barat dan Hindu. Dalam masyarakat Barat, masa dilihat sebagai sesuatu garisan linear yang mempunyai permulaan dan penghabisan. Sebaliknya, orang Hindu melihat masa sebagai suatu kitaran dan oleh itu, masa tidak ada titik permulaan dan penamatan. Itulah sebabnya dalam Hinduisme, masa dibahagikan kepada Yuga dan Manvantara yang tidak terkira.[4]

Atas sebab-sebab ini, ilmuwan Barat tidak menerima Rama sebagai seorang tokoh dalam sejarah dan menganggap Ramayana sebagai suatu karya sastera yang penuh dengan mitologi.

Namun, ini tidak bermaksud bahawa orang Hindu tidak memberikan sebarang perhatian kepada sejarah dalam hasil-hasil sastera mereka. Kedua-dua Ramayana dan Mahabharata dinamakan sebagai 'Itihasa' (secara literal bermaksud, 'demikian, sesungguhnya, ia berlaku') dan beberapa Purana juga telah memberikan data-data astronomi yang mencukupi berkaitan kejadian-kejadian penting yang berlaku dalam epik-epik ini. Dengan berdasarkan data-data astronomi ini, masa dan tarikh yang tepat sesuatu kejadian berlaku dapat dihitung menurut Kalendar Gregorian. Mengikut kaedah ini, tarikh-tarikh berikut untuk beberapa peristiwa penting dalam Ramayana dapat diberikan[5]:

  • Kelahiran Rama - 4439 S.M.
  • Pembuangan Negeri Rama - 4414 S.M.
  • Upacara Penabalan Rama - 4400 S.M.

Menurut satu pendapat lain pula[6]

  • Kelahiran Rama - 4342 S.M.
  • Perkahwinan dengan Sita - 4327 S.M.
  • Pembuangan negeri Rama - 4315 S.M.
  • Rama menaiki tahkta Ayodhya - 4301 S.M. 

Namun, harus ditekankan di sini bahawa sama ada Rama benar-benar wujud atau tidak, tradisi agama-kebudayaan Hindu telah memberikan riwayat Rama suatu realiti yang amat tinggi. Rama tetapi kekal sebagai manusia yang ideal dan memberikan inspirasi kepada generasi demi generasi. Kedudukan Rama sebagai Tuhan Maha Esa yang dipuja oleh orang-orang Hindu juga tidak dapat disingkirkan daripada psikik orang Hindu.